Wednesday 19 April 2017

Perkhemahan di Bukit Larut Taiping



Tapak perkhemahan di sekeliling Bangalo Angkasa

Berkumpul untuk menerima taklimat perkhemahan

Setelah dua tahun berturut-turut Pispa ( Pasukan Institusi Pertahanan Awam ) Sekolah saya  berkhemah di Taman Negara Pulau Pinang yang memerlukan kos yang tinggi serta permohonan yang rumit, kami memutuskan untuk mengadakan perkhemahan yang lebih menjimatkan kos tetapi tidak kurang menarik untuk program tahan lasak Pispa tahun ini. Perkhemahan di Bukit Larut serta merta terlintas di fikiran kami dan ia menjadi kenyataan pada Sabtu 15 April 2017.


Program Tahan Lasak kami ialah berjalan kaki sejauh 9.7 km dari kaki Bukit mengikut jalan tar ke bangalo Angkasa. Bermalam dalam bangalo atau dalam khemah di kawasan lapang di perkarangan bangalo dan mendaki ke pencawang telekom di puncak Bukit Larut sejauh 3 km dari Bangalo Angkasa pada keesokan harinya. Turun ke bangalo untuk menyediakan makanan tengah hari dan  berjalan menuruni  bukit setelah makan tengah hari. Dijangkakan jarak berbukit yang diliputi ialah 26 km dalam aktiviti dua hari.

 Kami memilih Bangalo Angkasa kerana ia mempunyai perkarangan yang luas sesuai sebagai tapak perkhemahan. Walaupun Bangalo mempunyai 4 bilik dan boleh menampung 16 orang penghuni dengan selesa, pelajar-pelajar hanya dibenarkan untuk menggunakan tandas dan dapur sahaja. Hanya guru-guru dan pegawai keselamatan APM(Angkatan Pertahanan Awam Malaysia ) dibenarkan bermalam dalam bangalo. Rombongan kami terdiri daripada 33 orang pelajar, 5 orang guru dan seorang pegawai keselamatan APM.

Kami berkumpul di Kaki Bukit tepat pada jam 7:30 pagi tetapi hanya dapat bertolak menaiki bukit setelah jam 8.00 pagi kerana pejabat Bukit Larut hanya dibuka pada pukul 8:00 pagi. Setelah membayar sewa bangalo ( RM 600.00 ) , kos dua gerabak pengangkut barang ( RM40.00 ) dan kos 5 tiket penumpang jip (RM 50.00 ) bagi 2 orang guru dan tiga orang pelajar yang kurang keyakinan tentang kebolehan fizikal mereka. Kos tiket RM10.00 seorang adalah untuk menaiki bukit dan menuruni bukit. Kami yang berjalan kaki bertolak dahulu tetapi tidak lama kemudian telah dilepasi jip kami. Jip hanya memerlukan setengah jam manakala masa purata pejalan kaki untuk tiba di destinasi kami dijangkakan sekurang-kurangnya 4 jam. 

Air terjun bertingkat tidak jauh dari Taman teh, 5.5 km dari kaki bukit

Daya ketahanan fizikal kami  jauh berbeza terutamanya tiga pelajar yang mengalami keletihan dan kesakitan kaki. Mereka telah melanggar dinding atau tidak bermaya. Mereka terpaksa berhenti rehat setiap kali berjalan tidak lebih daripada 5 minit dan sentiasa   mengharapkan jip yang menaiki bukit mempunyai kekosongan tempat. Harapan mereka memang tidak tercapai kerana setiap jip yang menaiki bukit  penuh dengan penumpang. Mereka terpaksa terus berusaha dengan menanggung keletihan dan kesakitan fizikal. Akhirnya mereka berjaya juga tiba di tapak perkhemahan di bangalo Angkasa. Mereka telah berjalan selama enam jam 30 minit dan semangat waja mereka untuk mencapai matlamat memang harus dipuji. 

Ruang makan yang agak besar dan selesa

Sebaik saja tiba di bangalo, makanan tengah hari telah siap terhidang di atas meja. Mereka yang awal tiba  bukan sahaja telah menyediakan makanan yang sederhana tetapi sudah makan dan sedang beristirehat. Memang sangat lapar kerana sudah pukul 3 petang dan makanan sederhana menjadi amat sedap dimakan. Setelah makan, kami pun berjalan-jalan di sekeliling Bangalo Angkasa yang amat dekat dengan stesen jip atas bukit dan satu-satunya kafeteria di bukit yang akan ditutup pada jam 3:30 petang. 

Kafeteria telah tutup
Kami bernasib baik kerana berkesempatan bertembung dengan kabus tebal yang menjadi jarak penglihatan kami hanya beberapa meter sahaja.  Pada jam 5 petang pelajar-pelajar pun bekerjasama mendirikan khemah di sekeliling bangalo. Tujuh khemah pada kawasan bertar manakala tiga buah di atas rumput. Kami tidak memilih kawasan lapang berumput yang luas  di depan bangalo untuk mendirikan khemah kerana kawasan itu tidak rata setelah dicerobohi babi hutan.
Penjelasan Permainan
 ice-breaking session

Pada waktu malam setelah mengadakan aktiviti permainan di ruang tamu bangalo yang luas kami pun berjalan ke jambatan gantung untuk menikmati pemandangan malam bandar Taiping. Bandar Taiping yang berkelip-kelip dalam kegelapan memang amat menarik dan mempesonakan.
kawasan lapang berumput yang luas sesuai untuk berkhemah jika rata


Pemandangan Bandar Taiping waktu malam dari Bukit

Nampaknya Bukit Laurt kepunyaan kami sahaja 


 Setelah menikmati Bandar Taiping dari bukit kami pun pulang ke bangalo untuk menikmati burger yang dibawa khas dari bandar Taiping oleh pemandu Jip yang hanya tiba pada 10.00 malam. Setelah itu kami pun berehat sama ada dalam khemah atau bilik bangalo. Saya terpaksa bangun untuk memerhati keadaan tapak perkhemahan kerana bimbang babi hutan datang menjenguk. Mujurnya semua pelajar dalam khemah dapat tidur dengan nyenyaknya sampai pagi tanpa sebarang gangguan.

Pada pukul 8:30 pagi setelah siap menikmati sarapan pagi yang disediakan pelajar , kami seramai 19 orang sahaja daripada 43 ahli rombongan yang meneruskan misi kami untuk menakluki puncak Bukit Larut yang berjarak 3 km dari Bangalo Angkasa. Walaupun hanya 3 km tetapi kami mengambil hampir tiga jam untuk naik  dan turun. 

Di Puncak bukit, terdapat tiga pencawang telekom yang bertindak sebagai stesen penerima dan pemancar telekomunikasi kawasan utara Perak. Kawasan itu adalah kawasan larangan tetapi pekerja di situ masih membenarkan kami menggunakan tandasnya. Di tepi kawasan larangan telekom terdapat sebuah pondok kecil entah siapa yang bina yang kami guna untuk berehat dan di situlah kami diserang pacat.  Di saat inilah pegawai keselamatan paling sibuk menyediakan kapas dan antiseptik untuk merawati kami. Dalam perjalanan ke puncak bukit kami juga melawat pusat kepelbagaian biologi, tapak penanaman tulip yang terbengkalai dan bangalo Speedy yang telah usang dan tidak sesuai untuk disewa.

Pusat Kepelbagaian biologi


Kami telah sampai di pintu depan stesen geganti telekom di puncak Bukit Larut

Apabila kami tiba di bangalo kami, ahli-ahli  yang tidak naik ke puncak bukit sedang sibuk menyediakan makanan tengah hari dan mengemaskan kawasan perkhemahan. Kami mengumpulkan semua bahan mentah makanan kami dan memasak secara berpusat di dapur bangalo dan berjaya menghasilkan makanan tengah hari yang memang sedap. Ini adalah kali pertama kami makan bersama dan dalam keadaan bergopoh-gapah kerana takut tidak sempat untuk untuk menaiki jip yang akan bertolak pada pukul 1.00 petang. Enam ahli memilih untuk menaiki jip menuruni bukit kerana seorang guru yang berjalan kaki menaiki bukit itu tidak larat untuk berjalan kaki lagi. Masa menuruni bukit amat cepat dan kami hanya memerlukan masa lebih kurang 2 jam setengah untuk tiba di kaki bukit. 
Makan kenyang-kenyang sebelum turun bukit

Program perkhemahan dan menakluki puncak Bukit Larut dengan berjalan kaki memang merupakan satu aktiviti
yang sangat lasak kerana jarak yang dijejaki sepanjang dua hari satu malam itu adalah 26 km bagi mereka yang sampai di puncak Bukit. Mereka yang tidak naik ke puncak pun telah meliputi jarak berbukit sejauh 20 km. Ramai peserta telah mengalami kesakitan fizikal tetapi ekspedisi yang bermanfaat ini pasti akan mengukuhkan lagi ketabahan serta semangat berjuang.         



     
senyum lebar tanpa menyedari pacat sedang menyerang

Mengalami Dua musim dalam sehari di Bukit Larut   
macam musim sejuk di negara Barat
Macam musim bunga di Australia atau New Zealand