Monday, 16 October 2017

Penjelajahan ke Lata Ranting ( Ranting Waterfall ) di Bukit Larut

Lata Maxwell yang amat mempesonakan

Memang tidak  dapat dinafikan ramai orang tahu bahawa Taiping mempunyai sebuah air terjun indah tersergam bernama Air Terjun  Maxwell yang dapat dilihat dari Taman Tasik Taiping . Sebenarnya terdapat sebuah lagi air terjun yang lebih tinggi yang dapat dilihat dari Kamunting Taiping tetapi tidak ramai tahu tentang kewujudannya jangan kata pernah sampai. Memang telah menjadi impian saya untuk menakluki air terjun yang tersembunyi dalam kawasan Bukit Larut yang jarang dijejaki setelah saya terbaca blog yang menceritakan pendakian mereka ke air terjun tersebut.

Cubaan pertama saya untuk menakluki Air terjun Ranting menemui kegagalan kerana mengikuti trek yang salah. Walau bagaimana pun kami berdua menemui Air Terjun Maxwell dalam perjalanan menuruni bukit yang memang merupakan satu bonus yang luar sangkaan kami. Air Terjun Maxwell memang merupakan air terjun tercantik di Taiping dari segi kuantiti air yang mencurah ke bawah. Air terjun ini merupakan tempat air disalurkan ke Loji Air Taiping yang sepatutnya merupakan kawasan larangan.

Bersama En.Kaswadi di Lata Maxwell


Pada 7 Oktober 2017, saya bersama dua orang kawan yang merupakan pendaki bukit lasak yang berpengalaman melancarkan cubaan kedua saya untuk menjejaki Air Terjun Ranting. Tidak seorang pun daripada kami yang tahu secara pasti kedudukan sebenar lokasi air terjun yang ingin kami takluki. Hanya berpandukan sedikit maklumat yang kami peroleh daripada blog, kami menjadikan ekspedisi kami satu kenyataan. 

Kami berkumpul di kaki Bukit Larut pada pukul 8:00 pagi dan berjalan menghala ke Loji Air Taiping. Kami berpakaian kasut jogging biasa tanpa stoking panjang kerana tidak sangka akan diserang pacat yang banyak. Kami hanya menyembur sedikit ubat pencegah nyamuk sebelum memulakan penjelajahan kami. Destinasi kami yang pertama adalah Air terjun Maxwell yang amat senang dicapai. Kami mengikuti denai di tepi air terjun kecil sebaik sahaja selepas kuil Hindu dalam perjalanan ke Loji Air Taiping. Denai yang menaiki bukit memang terdapat tanda berbentuk kertas pada daun pokok-pokok dan dengan senangnya kami tiba di satu persimpangan. Membelok ke kanan akan ke Air Terjun Maxwell manakala ke kiri akan ke Air Terjun Ranting. Kami membelok ke kanan untuk ke Air Terjun Maxwell yang belum dikunjungi oleh Pn. Toh, pendaki perempuan dalam kumpulan kami. Selepas mengambil gambar dengan air terjun tercantik di Taiping kami pun patah balik untuk meneruskan perjalanan kami ke Air Terjun Ranting.

mengikut paip air ke destinasi mkami


Kami tiba di persimpangan kedua berdekatan pagar loji air. Ini adalah tempat yang saya membuat kesilapan dalam cubaan saya yang pertama. Trek yang betul adalah mengikuti denai kecil di tepi pagar loji air yang hampir ditutupi lalang yang tinggi. Trek di tepi pagar yang pendek jaraknya terbuka kepada satu jalan tanah merah yang elok dengan air paip besar terlentang secara selari di tepinya sepanjang perjalanan. Jalan tanah merah yang elok itu adalah pembinaan pihak loji air untuk meletakkan paip air panjang bagi menyalurkan air dari hulu sungai Ranting ke loji air. Oleh itu kami perlu sahaja mengikuti air paip untuk tiba di Air Terjun Ranting yang begitu terlindung. 


Empangan kecil di Sungai Ranting


Setelah satu jam menjejaki jalan tanah yang tidak begitu curam, akhirnya kami sampai di air terjun yang kecil tetapi masih cantik untuk diambil gambar sebagai kenangan. Sebenarnya air terjun ini merupakan empangan buatan
penyaluran air dari empangan ke paip besar

 untuk menyalurkan air ke loji air di bawah. Tempat ini adalah penghujung paip air tetapi kami masih tidak terjumpa air terjun yang kami inginkan. Kami telah terlepas dari denai yang menghala ke Air Terjun Ranting yang sepatutnya lebih curam dan mempunyai tali-tali yang telah diikat oleh entah siapa. Setelah membersihkan kedua-dua kaki kami pacat-pacat yang memang sukar untuk ditanggalkan. Saya terpaksa menarik pacat yang terpaku pada kulit saya dan menjentiknya keluar.  Menarik pacat akan meninggalkan giginya dalam luka menyebabkan pendarahan yang banyak dan pendedahan kepada jangkitan kuman. Saya sepatutnya membawa garam untuk menanggalkan pacat-pacat yang begitu banyak dan ganas. Walau pun kaki sudah berdarah, kami tidak teranjak selangkah pun tetapi terus dengan usaha untuk mencari trek yang betul ke destinasi kami. 

terperanjat juga mendapati  begitu banyak pacat pada kaki 


sibuk menarik pacat


Memang benar pepatah,  “berusaha pasti akan membuahkan hasil” dan tidak lama selepas usaha mencari dan mengesan,  kami pun terserempak dengan trek yang betul. Trek itu tidak jauh dari empangan air yang kami berehat sebelum itu. Denai itu amat curam dan memang terdapat tali yang telah lama diikat pada pokok-pokok untuk membantu pendaki-pendaki. Denai ini dipenuhi dengan daun-daun gugur dan menjadi amat licin apabila dipijak. Yang amat menggerunkan ialah pacat-pacat kelihatan berdiri tegak di denai depan kami bersiap sedia untuk menyerang. Walau pun saya dapat merasakan diri saya telah banyak di serang pacat tetapi saya teruskan dengan perjalanan saya. Setelah satu jam mendaki denai yang curam ,licin dan berpacat akhirnya kami tiba di air terjun Ranting yang memang tinggi dan bertingkat-tingkat. 


Lata Ranting yang tinggi dan  bertingkat-tingkat


kumpulan terbilang yang sampai ke sini


Perkara pertama yang kami buat setibanya di air terjun yang mempunyai batu hampar yang besar ialah mengeluarkan pacat-pacat dari kaki-kaki, leher dan juga badan. Saya memang paling banyak diserang sehinggakan kedua belah kaki saya berlumuran darah. Kaki berdarah tetapi masih tidak lupa untuk merendam diri dalam kolam air yang anehnya bukan besar dan dalam. Walau bagaimana pun airnya cukup sejuk untuk melegakan badan yang letih dan berbau. Walau pun Air Terjun Ranting amat tinggi dan mempunyai enam tingkat tetapi air yang mencurah turun tidak sebesar yang dijangkakan sedangkan kini musim hujan. Setelah mengambil gambar dan menjamu selera, kami pun menuruni bukit mengikuti jalan yang sama dan terpaksa menanggung serangan pacat sekali lagi. Kami hanya mengambil masa 1 jam 30 minit untuk tiba di pintu depan loji air dan disambut dengan hujan yang lebat. Jumlah Masa yang diambil untuk perjalanan naik dan turun ke Air Terjun Ranting yang berada 375 m dari paras laut hampir 5 jam.

kolam air di dasar air terjun hanya sampai tengah lutut 


Selfie tiga penceroboh ke Hutan Lipur Bukit Larut


Penjelajahan ini memang merupakan satu pengalaman yang amat mencabar kerana denai yang curam, licin dan berpacat. Terdapat tempat-tempat amat berbahaya terutamanya semasa melintasi batu-batu licin di anak sungai yang jika tergelincir mungkin akan mengalami kecederaan parah. Saya banyak kali tergelincir jatuh kerana memakai kasut yang mempunyai tapak yang tidak berlekuk. Saat paling bahaya ialah saya tergelincir hampir 3 meter ke bawah. Nasib baik saya tertangkap sepohon pokok kecil, kalau tidak saya akan tergelincir sampai pokok palma yang berduri.

Sesiapa yang ingin mendaki ke Air Terjun Ranting mesti mempunyai ketahanan fizikal yang mencukupi dan  membuat persiapan yang cukup untuk mengelakkan serangan pacat. Stoking yang panjang, kasut hutan, topi, seluar panjang dan baju lengan panjang, garam dan akhirnya sebotol penghalang serangga seperti ‘ Bygone “. Walaupun peritnya pendakian kami ke Air terjun Ranting tetapi saya tidak menyesal kerana impian saya untuk menakluki Air Terjun Ranting yang kian lama terpendam dalam hati akhirnya tercapai juga.

Akhirnya saya ingin melafaskan ampun seribu ampun kepada Pn. Toh kerana mengajaknya untuk turut serta dalam penjelajahan yang amat menggerunkan mengikutnya. Saya amat kesal beliau terpaksa berjumpa doktor untuk menerima suntikan dan makan ubat antibiotik kerana telah mengalami 17 gigitan pacat . Saya menerima lebih daripada 40 gigitan di kedua belah kaki, leher dan badan tetapi saya awal-awal telah menyapu ubat “ econazine” yang amat berkesan untuk mencegah gatal dan jangkitan kuman.  

No comments:

Post a Comment