 |
| Lata Maxwell yang amat mempesonakan |
Memang tidak dapat dinafikan ramai orang tahu bahawa Taiping
mempunyai sebuah air terjun indah tersergam bernama Air Terjun Maxwell yang dapat dilihat dari Taman Tasik
Taiping . Sebenarnya terdapat sebuah lagi air terjun yang lebih tinggi yang
dapat dilihat dari Kamunting Taiping tetapi tidak ramai tahu tentang kewujudannya jangan
kata pernah sampai. Memang telah menjadi impian saya untuk menakluki air terjun yang
tersembunyi dalam kawasan Bukit Larut yang jarang dijejaki setelah saya terbaca blog
yang menceritakan pendakian mereka ke air terjun tersebut.
Cubaan pertama saya untuk menakluki Air terjun Ranting
menemui kegagalan kerana mengikuti trek yang salah. Walau bagaimana pun kami
berdua menemui Air Terjun Maxwell dalam perjalanan menuruni bukit yang
memang merupakan satu bonus yang luar sangkaan kami. Air Terjun Maxwell
memang merupakan air terjun tercantik di Taiping dari segi kuantiti air yang
mencurah ke bawah. Air terjun ini merupakan tempat
air disalurkan ke Loji Air Taiping yang sepatutnya merupakan kawasan larangan.
 |
| Bersama En.Kaswadi di Lata Maxwell |
Pada 7 Oktober 2017, saya bersama dua orang kawan yang
merupakan pendaki bukit lasak yang berpengalaman melancarkan cubaan kedua saya untuk menjejaki Air Terjun Ranting. Tidak seorang pun daripada kami yang
tahu secara pasti kedudukan sebenar lokasi air terjun yang ingin kami takluki. Hanya berpandukan sedikit maklumat
yang kami peroleh daripada blog, kami menjadikan ekspedisi kami satu kenyataan.
Kami
berkumpul di kaki Bukit Larut pada pukul 8:00 pagi dan berjalan menghala ke Loji Air
Taiping. Kami berpakaian kasut jogging biasa tanpa stoking panjang kerana tidak sangka akan diserang pacat
yang banyak. Kami hanya menyembur sedikit ubat pencegah nyamuk sebelum memulakan penjelajahan
kami. Destinasi kami yang pertama adalah Air terjun Maxwell yang
amat senang dicapai. Kami mengikuti denai di tepi air terjun kecil sebaik sahaja selepas kuil
Hindu dalam perjalanan ke Loji Air Taiping. Denai yang
menaiki bukit memang terdapat tanda berbentuk kertas pada daun pokok-pokok dan dengan senangnya kami
tiba di satu persimpangan. Membelok ke kanan akan ke Air Terjun Maxwell
manakala ke kiri akan ke Air Terjun Ranting. Kami membelok ke kanan untuk ke Air Terjun
Maxwell yang belum dikunjungi oleh Pn. Toh, pendaki perempuan dalam kumpulan kami. Selepas mengambil gambar dengan air terjun tercantik di Taiping kami pun patah balik untuk meneruskan perjalanan kami ke Air Terjun Ranting.
 |
| mengikut paip air ke destinasi mkami |
Kami tiba di persimpangan kedua berdekatan pagar loji air. Ini adalah tempat
yang saya membuat kesilapan dalam cubaan saya yang pertama. Trek yang
betul adalah mengikuti denai kecil di tepi pagar loji air yang hampir ditutupi lalang
yang tinggi. Trek di tepi pagar yang pendek jaraknya terbuka kepada satu jalan tanah merah
yang elok dengan air paip besar terlentang secara selari di tepinya sepanjang perjalanan.
Jalan tanah merah yang elok itu adalah pembinaan pihak loji air untuk meletakkan paip
air panjang bagi menyalurkan air dari hulu sungai Ranting ke loji air. Oleh itu kami
perlu sahaja mengikuti air paip untuk tiba di Air Terjun Ranting yang
begitu terlindung.
 |
| Empangan kecil di Sungai Ranting |
Setelah satu jam menjejaki jalan tanah yang tidak begitu curam,
akhirnya kami sampai di air terjun yang kecil tetapi masih cantik untuk diambil gambar sebagai kenangan.
Sebenarnya air terjun ini merupakan empangan buatan
 |
penyaluran air dari empangan ke paip besar
untuk menyalurkan air ke loji air
di bawah. Tempat ini adalah penghujung paip air tetapi kami masih tidak terjumpa air
terjun yang kami inginkan. Kami telah terlepas dari denai yang menghala ke Air Terjun
Ranting yang sepatutnya lebih curam dan mempunyai tali-tali yang telah diikat oleh entah siapa. Setelah membersihkan kedua-dua kaki kami pacat-pacat yang
memang sukar untuk ditanggalkan. Saya terpaksa menarik pacat yang
terpaku pada kulit saya dan menjentiknya keluar. Menarik pacat akan meninggalkan giginya dalam luka menyebabkan pendarahan
yang banyak dan pendedahan kepada jangkitan kuman.
Saya sepatutnya membawa garam untuk menanggalkan pacat-pacat yang
begitu banyak dan ganas. Walau pun kaki sudah berdarah, kami tidak teranjak selangkah
pun tetapi terus dengan usaha untuk mencari trek yang betul ke destinasi
kami. |
 |
| terperanjat juga mendapati begitu banyak pacat pada kaki |
 |
| sibuk menarik pacat |
Memang benar pepatah, “berusaha pasti akan membuahkan hasil”
dan tidak lama selepas usaha mencari dan mengesan, kami pun terserempak dengan trek yang betul.
Trek itu tidak jauh dari empangan air yang kami berehat sebelum itu. Denai itu amat curam dan memang terdapat tali
yang telah lama diikat pada pokok-pokok untuk membantu pendaki-pendaki. Denai ini dipenuhi dengan daun-daun gugur dan menjadi amat licin apabila dipijak.
Yang amat menggerunkan ialah pacat-pacat kelihatan berdiri tegak di denai depan kami
bersiap sedia untuk menyerang. Walau pun saya dapat merasakan diri saya telah banyak di
serang pacat tetapi saya teruskan dengan perjalanan saya. Setelah satu jam mendaki denai
yang curam ,licin dan berpacat akhirnya kami tiba di air terjun Ranting yang
memang tinggi dan bertingkat-tingkat.
 |
| Lata Ranting yang tinggi dan bertingkat-tingkat |
 |
| kumpulan terbilang yang sampai ke sini |
Perkara pertama yang kami buat setibanya di air
terjun yang mempunyai batu hampar yang besar ialah mengeluarkan pacat-pacat dari
kaki-kaki, leher dan juga badan. Saya memang paling
banyak diserang sehinggakan kedua belah kaki saya berlumuran darah. Kaki
berdarah tetapi masih tidak lupa untuk merendam diri dalam kolam air yang anehnya bukan besar dan dalam. Walau bagaimana
pun airnya cukup sejuk untuk melegakan badan yang letih dan berbau. Walau pun Air Terjun Ranting amat tinggi dan mempunyai enam tingkat tetapi air yang
mencurah turun tidak sebesar yang dijangkakan sedangkan kini musim hujan. Setelah mengambil gambar dan menjamu selera, kami pun menuruni bukit mengikuti jalan yang
sama dan terpaksa menanggung serangan pacat sekali lagi. Kami hanya mengambil masa 1 jam
30 minit untuk tiba di pintu depan loji air dan disambut dengan hujan yang lebat. Jumlah Masa
yang diambil untuk perjalanan naik dan turun ke Air Terjun Ranting yang berada 375 m
dari paras laut hampir 5 jam.
 |
| kolam air di dasar air terjun hanya sampai tengah lutut |
 |
| Selfie tiga penceroboh ke Hutan Lipur Bukit Larut |
Penjelajahan ini memang merupakan satu pengalaman yang
amat mencabar kerana denai yang curam,
licin dan berpacat. Terdapat tempat-tempat amat berbahaya terutamanya semasa melintasi batu-batu licin di
anak sungai yang jika tergelincir mungkin akan mengalami kecederaan parah. Saya banyak
kali tergelincir jatuh kerana memakai kasut yang mempunyai tapak yang
tidak berlekuk. Saat paling bahaya ialah saya tergelincir hampir 3 meter ke bawah.
Nasib baik saya tertangkap sepohon pokok kecil, kalau tidak saya akan tergelincir sampai pokok palma yang berduri.
Sesiapa yang ingin mendaki ke Air Terjun Ranting mesti mempunyai ketahanan fizikal yang mencukupi dan membuat persiapan
yang cukup untuk mengelakkan serangan pacat. Stoking yang panjang, kasut hutan,
topi, seluar panjang dan baju lengan panjang, garam dan akhirnya sebotol penghalang serangga seperti
‘ Bygone “. Walaupun peritnya pendakian kami ke Air terjun Ranting
tetapi saya tidak menyesal kerana impian saya untuk menakluki Air Terjun Ranting yang
kian lama terpendam dalam hati akhirnya tercapai juga.
Akhirnya saya ingin melafaskan ampun seribu ampun kepada Pn. Toh kerana mengajaknya untuk turut serta dalam penjelajahan
yang amat menggerunkan mengikutnya.
Saya amat kesal beliau terpaksa berjumpa doktor untuk menerima suntikan dan makan ubat antibiotik kerana telah mengalami
17 gigitan pacat . Saya menerima lebih daripada 40 gigitan di kedua belah kaki,
leher dan badan tetapi saya awal-awal telah menyapu ubat “ econazine” yang
amat berkesan untuk mencegah gatal dan jangkitan kuman.